Industri Ikan Hiasan

Industri Ikan Hiasan. Ikan hiasan telah dicatatkan sebagai industri yang paling pesat perkembangannya dalam sektor pertanian dan ia merupakan industri berorientasikan eksport dimana 95 peratus pengeluaran negara untuk eksport.Walaupun bersaiz kecil dengan pengeluaran domestik bernilai RM80 juta pada harga ladang, ia mempunyai profail antarabangsa.

Malaysia merupakan pembekal dunia ketiga penting selepas Singapura dan Indonesia dengan pegangan 7 peratus dari eksport dunia pada tahun 2000.

Di pasaran dunia, eksport negara mengalami pertumbuhan purata 24 peratus setahun dalam nilai USD bagi tempoh 1990 – 2000. Semasa tempoh kemuncak perkembangan permintaan dunia iaitu dari 1990 – 1996, eksport negara mencatatkan pertumbuhan pesat 48 peratus setahun sebelum tumbuh perlahan pada kadar purata 4 peratus setahun bagi tempoh 1996 – 2000. Pencapaian ini masih memberansangkan kerana bagi tempoh tersebut, eksport dunia menguncup pada kadar -5 peratus setahun. Pesaing-pesaing negara seperti Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat juga mengalami penguncupan eksport pada kadar -8 peratus, -8 peratus dan -14 peratus masing-masingnya. Walaubagaimanapun, Indonesia dan Czech Republic tumbuh pada kadar 25 peratus dan 3 peratus setahun masing-masing dan merupakan pesaing terdekat negara.
Dalam nilai Ringgit Malaysia, eksport ikan hiasan tumbuh pada kadar 35 peratus setahun dengan nilai eksport RM54 juta pada tahun 2001, tertinggi di dalam sektor pertanian dan eksport negara. Malaysia masih bergantung kepada Singapura sebagai pasaran kerana kemudahan logistik yang cekap, banyak dan murah. Pengeksportan terus adalah ke negara-negara Jepun, Hong Kong, United Kingdom, Itali dan Amerika Syarikat.
Kebanyakan ikan tropika yang popular ada terdapat di negara ini dan mendapat tempat di pasaran antarabangsa. Dalam tempoh 10 tahun, industri ini telah mencatatkan pertumbuhan tahunan 43 peratus pada harga ladang dengan peningkatan nilai dari RM15 juta pada tahun 1990 ke RM80 juta pada tahun 2000.

Permintaan dunia adalah tertumpu kepada negara-negara EU (43%), Amerika (24%) dan Jepun (13%). Import dunia ikan hiasan pada tahun 2000 dianggarkan bernilai USD250.9 juta, iaitu peningkatan lebih dari 3.5 peratus dari tahun 1999 (USD242.4 juta). Ini merupakan titik pemulihan permintaan setelah dunia mengalami kejatuhan semasa krisis ekonomi dunia bermula tahun 1997. Sedikit sebanyak peristiwa September 11 menyumbang kepada pemulihan ini.
Masa depan industri ini adalah cerah. Permintaan dunia dijangka akan terus meningkat walaupun lebih perlahan pada kadar 2.5 – 4 peratus setahun. Import dunia pada tahun 2003 diramalkan bernilai USD281 juta, meningkat kepada USD303 juta pada tahun 2005. Sejajar dengan itu, eksport negara juga diramal terus meningkat kepada RM60 juta pada tahun 2003, RM73 juta pada tahun 2005 dan RM117 juta pada tahun 2010. Sumbangan ini akan meningkatkan syer pasaran negara dari 7 peratus sekarang kepada 9 peratus pada tahun 2003 dan 15 peratus pada tahun 2010. Pasaran domestik juga dijangka akan meningkat kepada RM8 juta pada tahun 2003 dan RM10 juta bagi tahun 2005. Bagi mempastikan sasaran ini di capai, beberapa strategi dan langkah-langkah perlu diambil segera lebih-lebih lagi dengan munculnya pengeluar-pengeluar utama yang baru seperti negara Thailand, China dan Taiwan.
Terdapat 3 faktor penting kejayaan industri ini iaitu 
  1. Logistik, 
  2. Produk dan 
  3. Pemasaran. 

Malaysia perlu meningkatkan R&D untuk menjadi pengeluar ikan berkualiti tinggi di samping merangka skim insentif yang lebih menarik untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam industri ini. Isu kecekapan, kekerapan dan kos kargo perlu diatasi dengan penuh komitmen, perancangan dan perlaksanaan program pemasaran dan pengeluaran yang bersepadu di antara kerajaan dan industri adalah perlu bagi mewujudkan sinergi kearah mencapai matlamat tersebut. Pembangunan sumber manusia yang berkesan dan sistem maklumat yang cekap dan berkesan adalah tonggak kepada kejayaan. Secara keseluruhannya, industri ini telah menunjukkan potensi yang tinggi untuk dibangunkan secara lebih serius.Keadaan pasaran dunia yang konsisten juga boleh membantu industri ini untuk berkembang dengan lebih pesat.

Sila tinggalkan komen anda untuk perkongsian bersama. Terima kasih