Orkid 2 – Cara Menanam Orkid

Cara Menanam Orkid

CARA MENANAM ORKID

Orkid 2 – Cara Menanam Orkid, Pada bab ini penulis cuba membincangkan persoalan-persoalan yang sering didengari oleh penulis tentang penanaman dan penjagaan orkid di kalangan peminat flora. Penulis juga cuba berkongsi pengalaman beberapa teknik cara membiakkan orkid dan juga media tanaman yang selalu digunakan dikalangan peminat orkid. Bagi yang ingin mengenali orkid dengan lebih dekat bolehlah lihat Orkid 1 – Info dan Panduan Menanam

1. Susahkah menanam orkid?

“Saya minat orkid tapi high maintenance la….”
“Mak cik minat tengok je nak tanam tak reti..”
“Orkid ? Susah la, bunga masa beli je lepas tu tak mau bunga dah..”
“Orkid mak cik banyak mati, siram, baja semua cukup dah, tu yang frust dah nak jaga orkid.”

Itulah beberapa komen spontan yang penulis dengar daripada penggemar flora apabila mereka berkunjung ke pameran pameran orkid yang turut di hadiri oleh penulis.

Kebun orkid

Secara umum menjawab persoalan persoalan di atas, sebenarnya orkid tidak susah untuk di tanam, sama seperti pokok bunga lain juga. Apa yang penting pengetahuan tentang keperluan hidupnya sahaja. Ini adalah sesuatu yang pasti untuk anda ambil berat kerana ia adalah benda hidup seperti manusia. Sudah tentu orkid juga memerlukan persekitaran yang sesuai, ‘makanan’ dan ‘minuman’ untuk hidup. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakannya. Setelah anda melakukannya, anda akan gembira apabila melihat orkid anda hidup subur dan mengeluarkan bunga yang cantik.

Bermula dari sini penulis akan cuba berkongsi pengalaman dengan pembaca segala aspek penanaman dan penjagaan orkid. Harap dapat menambahkan lagi kefahaman pembaca tentang flora unik ciptaan Allah ini. Penerangan diberikan dengan bahasa yang mudah dan ringkas, juga seboleh mungkin penulis akan sertakan foto agar lebih mudah difahami oleh pembaca.

2. Media penanaman orkid

Penanaman orkid memerlukan kita menentukan media yang sesuai mengikut habitat asalnya seperti telah di terangkan di dalam sub topik; orkid dan persekitaran hidup semulajadinya. Terdapat beberapa jenis media yang biasa digunakan oleh peminat orkid. Bergantung kepada penanam untuk memilih kesesuaian media mengikut iklim mikro* kawasan penanam anda. Setiap media diterangkan secara ringkas untuk memudahkan anda mendapatkan gambaran penggunaannya.

a.    Pecahan batu bata    

Salah satu media yang popular digunakan dan mudah didapati. Digunakan untuk menanam orkid epifit dan orkid memanjat. Biasanya dicampur sekali bersama dengan pecahan arang. Biasanya penulis mendapatkan sumber pecahan batu bata ini di kawasan pembinaan perumahan.

Teknik menggunakan;
i. Sebelum menggunakan batu bata hendaklah direndam di dalam racun kulat selama semalaman. Selepas itu angkat dan keringkan.
ii. Pecahkan batu batu kepada saiz besar, medium dan kecil mengikut kesesuaian pasu.
iii. Letakkan pecahan besar di bawah pasu, diikuti dengan bersaiz medium dan kecil.
iv. Tanam orkid di atas permukaan pasu. Jangan timbus pangkal orkid anda. Untuk tegakkan orkid yang tinggi, boleh gunakan kayu pancang sebagai sokongan.
Nota : Pangkal orkid simpodial tidak boleh ditimbus semasa menanamnya kerana dipangkalnya terdapat beberapa mata tunas yang akan membentuk anak kelak.

b.     Pecahan arang

Juga media yang popular dan mudah didapati di kedai kedai runcit. Digunakan untuk orkid epifit dan orkid memanjat. Digunakan bersama dengan pecahan batu bata.

Teknik menggunakan:
i. Rendamkan arang selama semalaman untuk membuang garam. ( kerana arang diperbuat daripada kayu bakau yang tumbuh di tepi laut).
ii. Siram arang menggunakan aliran air supaya sisa garam dapat dibuang.
iii. Ikut teknik seperti menggunakan pecahan batu bata untuk langkah seterusnya.

c.     Serbuk kayu

Biasa digunakan sebagai media yang diletakkan didalam pasu atau batas untuk menanam orkid jenis memanjat.

Teknik menggunakan:
( Penulis menggunakan serbuk kayu sebagai campuran bersama dengan media lain seperti pecahan batu bata, arang, tanah pasuan dan perlite)
i. Rendam serbuk kayu yang ingin digunakan di dalam racun kulat semalaman. Angkat dan keringkan.
ii. Masukkan habuk kayu ke dalam bekas tanaman.
iii. Letakkan orkid di atas media. Jika menanam orkid yang hidup ditanah, penulis campur bersama dengan media pasuan dengan tujuan untuk membekalkan bahan organik di dalam tanah apabila ia mereput.

d.    Perlite

Perlite semakin digemari di dalam penanaman orkid. Begitu juga dengan penulis, ini kerana ia mudah dikendalikan, ringan, tahan lama. Perlite juga boleh dicampur bersama dalam tanah pasuan untuk memperbaiki sistem saliran dan pengudaraan tanah. Sesuai untuk orkid epifit dan orkid yang hidup ditanah. Penulis menggemari media ini kerana ia boleh mengurangkan risiko penyakit dek kesan daripada penyiraman melampau.

Teknik menggunakan:
i. Siram perlite dengan air supaya ia basah sebelum mengendalikannya. Ini adalah untuk tujuan keselamatan kerana perlite yang berkeadaan kering, partikelnya mudah berterbangan kerana ia sangat ringan. Dibimbangi memudaratkan kita apabila disedut. Tidak rugi kita berhati-hati.
ii. Isikan ke dalam pasu sehingga penuh.
iii. Letakkan orkid di atasnya, boleh juga dibenamkan orkid sehingga menutup rizomnya. Ini tidak memudaratkan kerana perlite masih memberi rongga udara.
iv. Boleh menggunakan kayu sokongan untuk penanaman orkid yang tinggi dan besar saiznya.

e.     Sphagnum moss

Media yang popular dibuat sebagai lapisan untuk menanam orkid epifit pada tunggul kayu dan potongan dahan tembusu. Ia mampu meyimpan kelembapan dengan lebih lama. Ada juga penanam menggunakan 100% sphagnum moss yang diletakkan di dalam pasu untuk menanam orkid genus phalaenopsis. Ini untuk mengekalkan kelembapan lebih lama kerana orkid jenis ini tidak mempunyai bebawang untuk menyimpan air.

Teknik menggunakan;
i. Sphagnum moss yang hendak digunakan direndam di dalam larutan racun kulat semalaman. Angkat dan biarkan sehingga ia terasa lembap.
ii. Isikan ke dalam pasu atau tampalkan kepada tunggul kayu misalnya

f.     Potongan batang paku pakis gajah.

Media ini juga amat digemari oleh penanam orkid kerana ia boleh menyimpan air dengan lebih lama dan mengelakkan kesan buruk daripada penyiraman melampau. Media ini amat sesuai untuk tanama secara gantung.

Teknik menggunakan;
i. Potong batang paku gajah mengikut kesesuaian orkid yang hendak di tanam.
ii. Lekatkan orkid di atasnya dengan menggunakan tali yang tidak mencederakan orkid anda. Penulis biasa menggunakan tali rafia kerana ia akan reput setelah orkid hidup dengan stabil pada media tanaman.

g.     Tunggul kayu

Media ini sesuai untuk tanaman orkid secara gantung. Ia lebih cepat kering berbanding dengan potongan paku pakis gajah. Ia mudah diperolehi di dalam hutan,di ladang-ladang sawit atau di tepi sungai.

Teknik menggunakan sama seperti menggunakan potongan batang paku pakis gajah. Boleh diletakkan sedikit Sphagnum moss untuk melambatkan kadar kehilangan air selepas siraman.

h.    Potongan dahan tembusu

Penulis menggunakan media ini untuk menanam orkid daripada famili Bulbophyllum dan Phalaenopsis. Daripada pemerhatian penulis orkid lebih cepat hidup stabil apabila menggunakan media ini. Ia mempunyai kulit yang tebal yang mampu menyimpan air lebih lama.

i.     Tanah campuran

Orkid yang hidup di tanah memerlukan media ini. Penulis biasanya menggunakan campuran tanah kompos, perlite dan sekam padi pada kadar 1:1:1. Ini dapat memberi kadar saliran dan pengudaraan media yang amat baik lepada akar orkid.

j.      Tiada media

Tiada media bermaksud orkid digantung bebas tanpa menggunakan sebarang media. Teknik ini sesuai untuk orkid jenis Vanda. Teknik ini memerlukan kadar penyiraman yang lebih.

 

Gambar media penanaman orkid (klik gambar untuk besarkan)

 

PENYEDIAAN PERSEKITARAN HIDUP ORKID

Orkid seperti tanaman yang lain juga yang memerlukan penanam menyediakan persekitaran hidup yang sesuai untuknya. Perkataan lain yang paling sesuai sekali ialah kadar pencahayaan. Kadar pencahayaan kepada orkid boleh di beri dengan penyediaan teduhan sebab setiap jenis orkid memerlukan kadar cahaya yang berbeza-beza. Sebagai contoh, orkid famili Arachnis memerlukan cahaya matahari 100% manakala orkid famili Phalaenopsis memerlukan cahaya matahari hanya 50% untuk hidup dengan subur. Ada 2 teknik teduhan yang biasa digunakan oleh penanam orkid.

a.      Rumah teduhan

Teknik ini amat popular dikalangan penggemar orkid kerana mudah untuk menyediakan kadar teduhan. Untuk teduhan biasanya mereka menggunakan jaring teduhan berwarna hitam yang biasa dijual. Kadar teduhan jaring tersebut biasanya adalah 50% dan terdapat beberapa jenis untuk pilihan penanam. Lihat contoh di bawah.

b.     Tanaman bersama pokok teduhan

Teknik ini boleh dikatakan orkid dijadikan antara elemen penyeri taman. Teduhan orkid diperolehi melalui kanopi pokok-pokok teduhan yang ada di taman penanam, atau terus menanam orkid pada dahan-dahan pokok di taman. Ia lebih kelihatan semulajadi. Sesuai untuk pembinaan landskap berasaskan orkid atau diintegrasikan bersama bunga-bungaan lain.

 

ARTIKEL BERKAITAN ORKID

Artikel Ini : Orkid 2 – Cara Menanam OrkidCara-Menanam-Orkid-400x267

Artikel Lain 

2 Comments

  1. Nurul Liza Amy Abdullah says:

    Terima kasih…banyak membantu saya dalam mengurus dan menjaga pokok orkid. Saya baru berjinak-jinak dengan pokok orkid.

Sila tinggalkan komen anda untuk perkongsian bersama. Terima kasih