Tips Kurma 3 : Teknik Alih Pokok Kurma

Tips Kurma 3 : Teknik Alih Pokok Kurma.  Berikut adalah 7 teknik yang perlu dilakukan apabila mengalih anak pokok kurma dari poli beg ke lokasi tanaman (Pasu atau Tanah). Teknik-teknik ini mempunyai nilai tinggi untuk dipratikkan kepada semua jenis pokok dan tumbuhan.
teknik alih kurma

Teknik Pertama :

Mulakan dengan kalimah Bismillah, bersihkan anak pokok dalam poli beg dengan mencabut rumput di permukaan tanah dan sekeliling beg poli. Bersihkan juga lokasi penanaman (pasu atau tanah) yang mahu dipindahkan. Cantas mana-mana dahan, ranting dan daun pokok yang telah layu.

Teknik Kedua :

Gali/Korek lubang tanah mengikut sukatan ketinggian tanah dalam poli beg. Sebagai contoh, kedalaman lokasi penanaman adalah bersamaan ketinggian tanah dalam poli beg yang sepanjang jari telunjuk. Boleh diukur dengan lidi, pembaris dan sebagainya.

Teknik Ketiga :

Lakukan pemotongan pada lubang terakhir sekeliling beg poli tersebut sehingga terdedah dasar tanahnya. Semasa proses pemotongan, sila ampu beg poli secara mengiring agar tanah tidak terlerai dengan banyak. Mana-mana akar yang terkeluar dari mana-mana lubang, ‘ekjas’ skil pemotongan anda supaya tak terpotong akar tersebut. Tapi kalau terpotong pun ‘idok ngape’, cuma anak pokok tu ambil masa la siket bagi ‘merawat kecederaan’ tersebut.

Teknik Keempat :

Pisahkan bahagian bawah yang dipotong itu daripada tanah secara perlahan-lahan agar tanah tidak terurai dengan teruk.

Teknik Kelima :

Dengan diiringi selawat sepanjang proses, letakkan anak pokok dalam beg poli yang telah dipotong bahagian bawahnya itu ke dalam dasar lubang yang telah digali. Kemudian tarik dengan perlahan-lahan dan lemah-lembut (petua ini bagi menzahirkan kasih sayang terhadap pokok yang ditanam) dari beg poli berkenaan.

Teknik Keenam :

Kambus kembali lubang dan siram secara kerap 2 – 3 kali sehari selama 2 minggu pertama. Amalkan juga pembajaan melalui baja organik sahaja.

Teknik Ketujuh :

Sentiasa berkomunikasi dengan pokok anda seperti memberi salam, bertanya khabar, ‘hamburan’ dengan kata-kata positif, belai dengan sentuhan lembut diiringi zikir, selawat dan doa. Ianya merupakan tonik terbaik agar pokok kita hidup subur dan segar bugar serta mampu mengeluarkan hasil yang membuak-buak dengan banyak kelak.

Semoga Anda Dipermudahkan untuk Mencuba..! 🙂

Artikel asal : Syful Tamar

Catatan : Artikel ini adalah bertujuan sebagai sumber rujukan admin.

Sila tinggalkan komen anda untuk perkongsian bersama. Terima kasih